arena

Fokus ke final dahulu Yob!

Oleh Azizan Hashim

IPOH: “Ketepikan dahulu sebarang rasa tidak puas hati jika ada dan tumpukan sepenuh perhatian terhadap tugasan penting bermula Ahad ini.”

Begitulah nasihat pengurus Perak, Datuk Adzly Shah Ahmad Tah kepada pemain pasukan negeri itu dalam misi menawan Sabah pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak.

Beliau  berharap pemain tidak membiarkan isu remeh temeh mengganggu mereka sekali gus menjejaskan tumpuan pada perlawanan penting itu.

“Perak perlukan bekalan selesa untuk dibawa ke Kota Kinabalu. Jadi pemain perlu usahakan kejayaan dengan jurang dan kelebihan sekurang-kurangnya dua gol,” katanya ketika ditemui pada majlis makan tengah hari pasukan bola sepak Perak bersama Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu di sini hari ini.

Adzly yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) berkata, kerajaan negeri sudah berusaha menyuntik semangat pemain dengan mengumumkan pemberian ganjaran RM15,000 setiap pemain jika layak ke final kali ini serta imbuhan tambahan jika merangkul kejuaraan.

“Saya harap pemain sambut cabaran Menteri Besar dengan menjadikan impian ini satu kenyataan,” katanya.

Beliau yakin Perak akan turun dengan azam dan tekad untuk mengukir kemenangan ke atas Sang Badak.

“Saya harap pemain mampu beraksi seperti ketika menundukkan PKNS FC 2-0 pada suku akhir untuk mara dengan agregat 2-0. Jika ia mampu dilakukan, tiada sebab mengapa Perak tidak boleh menang,” katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2018 @ 8:31pm
d