arena

Burn kekal latih PKNP FC

Oleh Rodly Fadly

KUALA LUMPUR: Sah! Abu Bakar Fadzim kekal sebagai jurulatih PKNP FC musim depan sekali gus menutup pintu rundingan bersama Melaka United.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Abu Bakar kepada Sukan NSTP bagi menamatkan spekulasi yang tercetus sejak beberapa hari lalu.

“Saya mengaku menerima tawaran Melaka dan mengadakan rundingan secara santai dengan pengurusan pasukan itu minggu lalu.

“Tapi, ketika itu saya tidak memberi sebarang kata putus kerana ingin berbincang terlebih dahulu dengan PKNP sama ada kekal beraksi dalam Liga Super atau menjadi kelab sokongan seperti digembar-gemburkan sebelum ini.

“Jika mereka memilih untuk menjadikannya kelab sokongan, saya akan menarik diri sebagai jurulatih dan meminta dilepaskan ke Melaka walaupun kontrak masih berbaki setahun lagi,” katanya.

Semalam, jurulatih yang mesra dengan panggilan Burn itu mengadakan pertemuan dengan pengurusan PKNP yang mengesahkan kelab itu akan kekal bermain dalam Liga Super.

Ia sekali gus mempengaruhi keputusan Abu Bakar untuk kekal bersama kelab itu dan menolak tawaran Melaka.

“Saya sudah memaklumkan keputusan ini kepada pengurusan Melaka dan mereka memahami serta menerimanya dengan hati terbuka.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Melaka United dan penyokongnya yang menaruh kepercayaan kepada saya untuk membimbing pasukan itu.

“Tapi, mungkin belum rezeki saya untuk bersama mereka. Mana tahu, kami akan bertemu jodoh juga satu hari nanti,” kata Abu Bakar.

Disiarkan pada: October 4, 2018 @ 8:48pm
d