arena

Lorenzo 'gegar' Buriram

Oleh AFP

BURIRAM, Thailand: Jorge Lorenzo disahkan cergas hari ini untuk bermula pada perlumbaan sulung MotoGP Thailand selepas mengalami kecederaan kaki, sekalipun penunggang Ducati itu masih berasa sakit kesan kemalangan di Aragon bulan lalu.

Pelumba Sepanyol berusia 31 tahun itu terseliuh ibu jari kakinya di selekoh pertama Grand Prix Aragon, kemalangan yang mencemari usaha kerasnya meraih petak utama.

Dia menyalahkan warga senegara dan juara dunia Marc Marquez, yang memenangi perlumbaan itu dan semakin hampir merangkul kejuaraan MotoGP dunia kali kelima.

Marquez mendahului 72 mata di depan penunggang tangga kedua Andrea Dovizioso, manakala Lorenzo di tangga keempat.

Menerusi Twitter hari ini, MotoGP menyatakan Lorenzo “disahkan cergas” bagi perlumbaan hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Chang di sini.

Namun Lorenzo, juara dunia tiga kali, masih berjalan menggunakan topang ketiak hari ini supaya kesakitan kakinya tidak melarat.

“Saya positif... Harapnya saya akan menunggang esok dan mempunyai tenaga mencukupi,” katanya kepada wartawan mengenai peluangnya berlumba di Thailand, sehari sebelum sesi latihan.

Thailand menjadi hos MotoGP buat kali pertama, satu pencapaian besar buat negara yang berharap satu hari nanti menganjurkan perlumbaan Formula Satu. - AFP

Disiarkan pada: October 4, 2018 @ 10:04pm
d