arena

England ikat Southgate hingga 2022

Oleh Reuters

MANCHESTER, England: Pengurus pasukan kebangsaan England, Gareth Southgate menandatangani kontrak baru yang menyaksikan beliau mengendalikan pasukan itu hingga Piala Dunia 2022.

Southgate dan ketua eksekutif Persatuan Bolasepak England (FA), Martin Glenn mengumumkan perjanjian itu yang turut menyenaraikan penolong Southgate, Steve Holland pada sidang media, hari ini.

Bekas pertahanan pasukan kebangsaan itu diberikan pujian selepas England berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Dunia di Russia sebelum tewas kepada Croatia.

Southgate, yang mempunyai baki kontrak dua tahun, kini menerajui England bagi kejohanan Euro 2020 dan Piala Dunia 2022 di Qatar.

“Saya gembira memperoleh peluang ini untuk membimbing pasukan kebangsaan bagi dua kejohanan utama selepas ini,” kata Southgate, 48, selepas menandatangani perjanjian baru.

“Tugas ini kekal sebagai satu keistimewaan mengagumkan selain penghormatan sebenar. Dapat merasai sendiri bagaimana seluruh negara menyokong pasukan kami pada musim panas lalu sesuatu yang istimewa dan rasa hebat apabila menyaksikan sejauh mana skuad muda ini berjaya melangkah,” katanya.

Southgate sebelum ini menjadi jurulatih sementara selepas Sam Allardyce mengosongkan jawatan itu pada September 2016.

FA kehilangan pengarah teknikal Dan Ashworth minggu lalu, selepas beliau memilih berpindah ke kelab Liga Perdana Inggeris, Brighton serta jelas tidak mahu berdepan risiko Southgate meninggalkan skuad itu sebelum Piala Dunia akan datang.

Disiarkan pada: October 4, 2018 @ 11:36pm
d