arena

Arsenal bergaya, Celtic derita

Oleh AFP

PARIS: Arsenal meraih kemenangan 3-0 di laman juara Azeri, Qarabag dalam saingan Liga Europa awal pagi tadi manakala Celtic kecundang 1-3 di tangan Red Bull Salzburg.

Sokratis Papastathopoulos menyempurnakan jaringan menerusi tandukan pada minit keempat di Baku, manakala bekas pemain akademi Arsenal, Emile Smith Rowe dan pemain muda Perancis, Matteo Guendouzi masing-masing menjaringkan gol pertama mereka bersama kelab kendalian Unai Emery itu. 

The Gunners kini melanjutkan rentak kemenangan mereka kepada lapan perlawanan dan mendahului Sporting Lisbon dengan kiraan perbezaan jaringan di puncak Kumpulan E, selepas pasukan dari Portugis itu meraih kemenangan 2-1 di Ukraine ke atas Vorskla Poltava.

Pemain tengah Arsenal dari Armenia, Henrikh Mkhitaryan tidak mengikuti kunjungan ke Azerbaijan susulan ketegangan diplomatik antara negara berkenaan dan negara kelahirannya itu.

Sementara itu, Odsonne Edouard meletakkan Celtic di hadapan seawal minit kedua permainan di Austria, namun dua jaringan dari Munas Dabbur dan penyerang Jepun, Takumi Minamino membenarkan Salzburg meraih kemenangan kedua mereka daripada dua perlawanan Kumpulan B.

Celtic kehilangan pemainnya, James Forrest yang dilayangkan kad merah selepas didapati melakukan kekasaran ke atas Andreas Ulmer dalam kotak penalti, sebelum Dabbur menyempurnakan peluang itu untuk meranapkan impian anak buah Brendan Rodgers.

Juara tujuh kali Eropah, AC Milan bangkit daripada ketinggalan satu gol di laman sendiri sebelum meraih kemenangan 3-1 ke atas Olympiakos dalam aksi Kumpulan F.

Disiarkan pada: October 5, 2018 @ 8:51am
d