arena

'Perlu sekat India, Australia'

Oleh Jugjet Singh

KUALA LUMPUR: Skuad hoki remaja negara pastinya akan cuba untuk menghalang India dan Australia daripada menyambar gelaran ketiga Piala Sultan Johor (SOJC) yang bermula esok.

Kejohanan jemputan enam negara itu akan dilangsungkan buat kali kelapan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru dan turut membabitkan Jepun, New Zealand dan juara bertahan, Britain.

India pernah mara ke final empat kali dari 2012 hingga 2015 dengan membolot kejuaraan pada 2013 dan 2014.

Australia pula mendominasi SOJC pada 2016 dan 2017. Mereka turut mara ke final dalam pentas sulung 2011 sebelum kecundang kepada Malaysia.

Bagaimanapun, kebanyakan pasukan mempertaruhkan pemain muda kali ini sebagai persiapan awal menghadapi kelayakan Piala Dunia Remaja sepanjang tempoh dua tahun akan datang.

Malah, ada antara pasukan yang tidak membawa tonggak utama susulan saingan kali ini bertembung dengan temasya Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina.

Pengendali Malaysia, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, mereka melihat peluang untuk menamatkan saingan dalam kedudukan empat terbaik tahun ini.

"Kami begitu teruja untuk menghadapi kejohanan ini dan berharap untuk menamatkan saingan dalam kedudukan empat terbaik.

"Ia akan menjadi minggu yang getir apabila melihat kepada kualiti yang dimiliki setiap pasukan di sini.

"Kami beraksi dalam dua aksi pemanas badan menentang Australia (tewas 0-1) dan Great Britain (seri 0-0) dan masalah kami adalah ketumpulan di jentera serangan. Kami perlu menyumbat gol untuk menang satu-satu perlawanan," katanya.

Sementara itu, pengendali India, Jude Felix mengakui kehilangan beberapa pemain mungkin akan menjejaskan aksi pasukannya apabila turun membuka kempen berdepan Malaysia, esok.

"Sama seperti Malaysia, kami kehilangan beberapa pemain yang ke Sukan Olimpik Remaja. Tapi saya percaya kami mempunyai kekuatan seimbang untuk mengatasi ketiadaan mereka."

JADUAL

Esok

Britain mln New Zealand, 4.05ptg

Australia mln Jepun, 6.05ptg

Malaysian mln India, 8.35mlm

*Semua perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya

Disiarkan pada: October 5, 2018 @ 5:14pm
d