arena

Nishikori mara separuh akhir

Oleh AFP

TOKYO: Pemain pilihan tempatan, Kei Nishikori membenam pilihan kelima, Stefanos Tsitsipas 6-3, 6-3 untuk melangkah ke separuh akhir Terbuka Jepun, sekali gus menghampiri gelaran ketiganya di Tokyo.

Nishikori yang diletakkan sebagai pilihan ketiga, yang memenangi gelaran kali terakhir daripada keseluruhan 11 gelaran dalam kariernya di Memphis dua tahun lalu, memastikan kemenangan mudah ke atas lawan yang juga pemain muda Greece dalam hanya 82 minit.

Juara Terbuka Jepun 2012 dan 2014 itu bagaimanapun perlu menewaskan Richard Gasquet untuk melangkah ke final buat kali ketiga selepas pemain Perancis itu mengejutkan pilihan kedua, Kevin Anderson 7-6 (8/6), 7-6 (7/4).

“Saya bermain dengan baik sejak mula hingga penamat,” kata Nishikori, bekas naib juara Terbuka Amerika Syarikat yang mara ke separuh akhir di New York bulan lalu.

“Saya membalas bola dengan baik, bermakna saya boleh melakukan servis dengan tenang,” kata pemain berusia 28 tahun yang mengejar gelaran pertama sejak kembali daripada kecederaan pergelangan tangan. Saya harap kini saya boleh pergi lebih jauh.”

Pilihan keenam, Milos Raonic dari Kanada, yang mara ke final tiga kali di Tokyo, bagaimanapun tewas kepada pemain dari pusingan kelayakan, Daniil Medvedev yang berasal dari Russia 6-7 (4/7), 3-6.

Disiarkan pada: October 6, 2018 @ 12:21am
d