arena

Chong Wei balik esok

Oleh Fabian Peter

KUALA LUMPUR: Selepas pelbagai ketidakpastian, bekas pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei akan kembali ke tanah air esok.

Bintang berusia 36 tahun itu yang disahkan menghidap kanser hidung peringkat awal, menjalani rawatan di Taiwan sejak dua bulan lalu.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menerusi satu kenyataan berkata: “Merujuk kepada laporan berita mengenai kepulangan Datuk Lee Chong Wei dari Taiwan, saya sudah bercakap dengan legenda badminton negara itu Rabu lalu dan ketika itu dia masih belum mendapat kebenaran untuk keluar.

“Saya gembira untuk menyatakan kepada anda bahawa Chong Wei kini sudah mendapat pelepasan oleh pasukan perubatannya dan akan kembali ke Kuala Lumpur esok.

“Mewakili BAM, saya menggesa rakan-rakan media dan rakyat Malaysia untuk terus menghormati privasi dan keluarganya.”

Norza sebelum ini menafikan Chong Wei akan kembali pada Ahad selepas akhbar China Daily melaporkan pemenang pingat perak di tiga Sukan Olimpik itu akan pulang dengan menggunakan jet peribadi.

 

Disiarkan pada: October 6, 2018 @ 1:22pm
d