arena

Piala Newspaper ujian muka baru

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee bersedia memberi peluang dan menguji beberapa muka baharu yang berjaya memikat hatinya pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Ipoh, Perak bulan lalu.

Beliau yang kini dalam rangka persediaan menghadapi pusingan kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang turut menawarkan tiket ke Olimpik Tokyo 2020 Mac depan, bakal menjadikan saingan Piala Newspaper di Vietnam, Disember ini sebagai medan menguji keupayaan mereka sebelum memuktamadkan skuad terakhir pada Mac depan.

Katanya, tonggak kepada kekuatan skuad Sukan Asia di Indonesia baru-baru ini tidak akan disenaraikan seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Nik Akif Syahiran Nik Mat pada kejohanan jemputan di Vietnam itu nanti.

"Sebelum kelayakan nanti, kita akan memanggil pemain hujung bulan depan dan akan menyertai Piala Newspaper di Vietnam pada pertengahan Disember.

"Jadi, itu perancangan pertama kita sebelum kelayakan AFC pada Mac. Pemain utama skuad B-23 tidak akan dipanggil menyertai kejohanan ini kerana sudah beraksi banyak perlawanan bersama pasukan masing-masing.

"Namun, apa yang menariknya, ketika di SUKMA tempoh hari ada beberapa pemain menunjukkan aksi baik yang saya kira mampu mengisi slot-slot tertentu.

"Jadi, apa yang saya akan lakukan di Piala Neswpaper ini, saya akan menilai mereka sebelum memanggil mereka semula pada bulan Mac nanti bersama skuad sedia ada dan pemain dari pasukan B-19 kendalian Bojan Hodak," katanya.

Kejayaan cemerlang skuad B-23 sepanjang tahun ini pastinya akan menjadi perhatian peminat apabila bersaing di kelayakan AFC pada tahun depan.

Bermula dengan kejutan mara hingga ke suku akhir kempen AFC di China Januari lalu, rentak cemerlang itu kemudiannya diteruskan pada temasya Sukan Asia yang menyaksikan Malaysia membuat kejutan terbesar apabila menewaskan Korea Selatan 2-1 yang diketuai oleh bintang Tottenham Hotspur, Son Hyeung Min.

Biarpun berjaya muncul selaku juara Kumpulan E, hasrat skuad negara untuk mara ke peringkat lapan terbaik disekat oleh Jepun apabila Malaysia tewas tipis 0-1 di pusingan kedua temasya itu.

Disiarkan pada: October 6, 2018 @ 4:32pm
d