arena

Satu gol sudah cukup buat Spurs

Oleh AFP

TOTTENHAM Hotspur berjaya bangkit daripada kekalahan kepada Barcelona dalam saingan Liga Juara-Jauara apabila menumpaskan Cardiff City 1-0 di Wembley bagi merapatkan kedudukan dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City dan Liverpool.

Selepas dibuli dengan persembahan luar biasa Lionel Messi pertengahan minggu ini, Spurs mengambil kesempatan atas ketumpulan jentera serangan Cardiff hanya melalui jaringan tunggal Eric Dier pada awal perlawanan.

Bagaimanapun, Spurs amat bernasib baik apabila Toby Alderweireld berjaya mengeluarkan bola di atas garisan gol hasil percubaan Josh Murphy, manakala Hugo Lloris pula bertindak cemerlang menyelamatkan tandukan Sean Morrison.

Spurs gagal mengambil kesempatan untuk menambah jaringan apabila pemain lawan, Joe Ralls diperintah keluar padang 30 minit sebelum tamat.

Kini pengendali Spurs, Mauricio Pochettino sudah tidak sabar untuk mengalu-alukan tempoh rehat selama dua minggu bagi membolehkan tonggaknya kembali cergas selepas mereka kehilangan Dele Alli, Christian Eriksen, Jan Vertonghen dan Mousa Dembele.

Dier berjaya memberi impak awal dengan menjaringkan gol pertama sejak April 2017, apabila melakukan percubaan dari jarak dekat pada minit kelapan selepas tandukan Davinson Sanchez jatuh tepat di kakinya.

Ralls dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan keras ke atas Lucas Moura, namun ia tidak mematahkan semangat Cardiff untuk mencari gol penyamaan dan paling hampir menerusi tandukan Morrison pada minit ke-64.

“Selepas perlawanan menentang Barcelona, perkara paling penting adalah kembali menang. Kami mencipta banyak peluang, namun tidak mampu untuk menambah gol.

“Mengenai layangan kad merah pula bagi saya ia memang jelas. Neil Warnock memang boleh tidak berpuas hati tapi ia bukan masalah saya,” kata Pochettino.

Disiarkan pada: October 7, 2018 @ 1:06am
d