arena

'Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Pemakanan dan nutrisi seharusnya menjadi elemen penting dalam pembentukan pemain bola sepak khususnya pemain kanak-kanak, namun sebaliknya berlaku di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) apabila ada ibu bapa yang mendakwa kehidupan anak mereka ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Menurut Hashim Ghani, pendedahan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai situasi ‘tenat’ di AMD adalah benar di mana terlalu banyak masalah yang wujud membabitkan kerosakan kemudahan, ketiadaan peralatan sukan, pemakanan dan logistik.

Bagaimanapun, beliau lebih bimbang akan masalah kekurangan makanan disediakan oleh AMD apabila anaknya, Rohisham Haiqal dan rakan yang lain dikenakan ‘catuan makanan’ dengan disediakan tiga kali hidangan setiap hari.

“Memang betul ada macam-macam masalah tetapi saya lebih risaukan pasal pemakanan budak-budak ini. Pasal masalah padang dan lain-lain bagi saya tak serius tetapi isu makanan nampak teruk sekali.

“Dulu masa mula-mula nak masuk sini (AMD), mereka berjanji yang pelatih akan diberikan makanan enam kali sehari tapi sehingga sekarang mereka cuma bagi tiga kali saja pada waktu pagi, tengahari dan malam.

“Itu pun hanya pagi dan malam saja mereka akan makan di AMD, manakala makan tengahari pula di sekolah sebelah iaitu SSMP (Sekolah Sukan Malaysia Pahang).

“Masalah yang wujud pada sebelah petang di mana mereka tidak diberikan makanan sebelum turun berlatih. Apabila tak makan, macam mereka nak berlatih dan sebab itu saya akan datang ke sini pada sebelah petang dengan membawa makanan untuk anak saya,” katanya yang tinggal di Jengka, Pahang.

Menerusi lawatan mengejut Syed Saddiq ke AMD kelmarin, beliau mendapati banyak permasalahan dan kelemahan serius berlaku di akademi itu yang dibina dengan nilai sekitar RM85 juta bagi melahirkan pemain bertaraf antarabangsa.

Masalah sama turut dikongsi Mohd Haizon Ayop apabila mengakui kecewa dengan sistem pengurusan yang lemah daripada pihak AMD.

“Saya tidak mahu mencampuri urusan pihak atasan kerana saya percaya mereka pasti akan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menangani masalah ini.

“Tetapi apabila melihat anak saya hanya diberi makanan tiga kali sehari, timbul rasa bimbang lebih-lebih lagi mengenai pembesarannya sebagai pemain.

“Saya harap isu ini akan dapat diselesaikan segera dan kami sebagai ibu bapa hanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak kami di sini,” katanya yang gembira dengan perkembangan positif Mohammad Haykal Danish yang sebelum ini dijemput beraksi untuk akademi Paris Saint-Germain di Perancis (PSG) pada Julai lalu.

Disiarkan pada: October 7, 2018 @ 11:21am
d