arena

Empat pemain jalani latihan di Cardiff

Oleh Izzali Ismail

ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengumumkan nama empat pemain dan seorang jurulatih yang akan dihantar menjalani latihan selama sebulan melalui usaha kerjasama pembangunan dengan kelab Liga Perdana Inggeris Cardiff City Football Club (CCFC) pada November ini.

Pemain dari skuad Piala Presiden yang terpilih ialah Muhammad Asri Mohamad, Fadzrul Danel, Suhaimi Saad dan Aminuddin Abu Bakar manakala wakil dari jurulatih skuad Piala Presiden Keda ialah Fauzi Nan.

Pengumuman dibuat ketika majlis makan malam yang diadakan di Keriang Hill Alor Setar, sempena meraikan pasukan bola sepak Sukma Kedah 2018 yang meraih pingat perak temasya Sukan Malaysia SUKMA ke-19 baru-baru ini.

Kerjasama ini bukanlah kali pertama malah telah bermula sejak 2015 apabila jurulatih Victor Andrag bersama empat pemain muda terdiri daripada Loqman Hakim, Muhammad Akhyar, Osman Yusof dan Shazuan Hazani mendapat pendedahan selama hampir lima minggu bersama CCFC.

Selain Cardiff City, pihak pengurusan KFA juga pernah bekerjasama dengan kelab Perth Glory dari Australia sejak musim 2014 dengan pendedahan latihan membabitkan enam pemain muda yang menjalani latihan selama sebulan bersama kelab berkenaan.

Disiarkan pada: October 7, 2018 @ 2:06pm
d