arena

Biar Chong Wei bicara

Oleh Fabian Peter

 

BEKAS pemain perseorangan negara, Wong Choong Hann percaya Datuk Lee Chong Wei adalah individu paling layak untuk memberikan kenyataan terperinci berhubung situasi dirinya.

Chong Wei yang menjalani rawatan lebih dua bulan di Taiwan selepas disahkan menghidap kanser hidung peringkat awal kembali ke Malaysia menerusi jet peribadi semalam.

Pemain berusia 36 tahun itu bagaimanapun mengelak daripada bertemu media tetapi menghantar pesanan suara kepada Sukan NSTP meminta untuk memberikan ruang kepadanya.

Sekumpulan besar media berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang untuk mendapatkan perkembangan terkini pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu yang menghilangkan diri sejak melangkah ke separuh akhir Terbuka Indonesia, Julai lalu.

Choong Hann ketika dihubungi berkata: "Saya rasa ia satu perkembangan positif apabila Chong Wei membalas pertanyaan media menerusi pesanan suara.

"Ia satu tindakan baik yang bermakna dia menganggap anda semua amat rapat dalam kehidupannya.

"Saya yakin Chong Wei sudah mendapat nasihat daripada mereka yang pakar, jadi biarlah dia berehat dulu dan jangan mencetuskan apa-apa spekulasi mengenai masa depannya.

"Dia individu paling layak untuk memberikan kenyataan terperinci mengenai situasinya.

Berita mengenai tahap kesihatan Chong Wei mula timbul Julai lalu selepas jaguh negara itu menarik diri daripada menyertai Kejohanan Dunia di Nanjing, China dan Sukan Asia di Jakarta dan Palembang.

"Secara  logik, keutamaannya adalah untuk pulih sepenuhnya.

"Dia sudah menyatakan kesediaan untuk bercakap kepada media, jadi janganlah mencetuskan sebarang spekulasi lagi," kata Choong Hann. 

 

Disiarkan pada: October 8, 2018 @ 5:31pm
d