arena

Zii Jia buka mata Misbun

Oleh Fabian Peter

KETUA jurulatih perseorangan lelaki negara Datuk Misbun Sidek tidak menjangka Lee Zii Jia mampu melakar kejutan meraih gelaran Terbuka Taiwan, semalam.

Pemain berusia 20 tahun itu yang diketepikan sebulan kerana kecederaan belakang mencipta kebangkitan bergaya dengan menewaskan wakil Jepun Riichi Tekeshita 21-17, 16-21, 21-11.

Kejayaan Zii Jia itu juga menamatkan penantian 14 tahun Malaysia untuk memenangi gelaran Terbuka Taiwan.

Datuk Lee Chong Wei yang kembali ke Kuala Lumpur semalam selepas dua bulan  di Taiwan menjalani rawatan kanser hidung peringkat awal adalah pemain terakhir Malaysia memenangi Terbuka Taiwan pada 2004.

Ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini, Misbun berkata: "Sudah tentu saya terkejut."

"Sebelum ini dia tidak begitu konsisten. Dia masih mencari rentak permainannya dan berasa tidak pasti apabila bertemu pemain utama dunia.

"Menyaksikan perlawanannya di Taiwan, apa yang boleh saya katakan dia sudah menemui rentak. Zii Jia mempunyai potensi besar.

"Saya berharap dia terus merendah diri selepas kemenangan ini dan memperbaiki segala kelemahan.

"Secara peribadi saya rasa dia ada melakukan kesilapan mudah. Kini selepas dia menang, pemain lain akan mengkaji corak permainannya dan akan cuba menggunakannya apabila bertemunya lagi pada masa depan.

Misbun menambah pemain utama boleh datang dan pergi tetapi yang paling penting adakah mereka boleh mengikuti modul latihan tertentu.

"Adalah amat penting untuk melihat adakah program latihan itu sesuai untuknya.

"Dari situ kita akan tahu apa yang sepatutnya perlu dilakukan," kata Misbun yang juga bekas pemenang Terbuka Taiwan pada 1987.

Zii Jia yang ketika ini menduduki ranking ke-60 dunia akan beraksi di Terbuka Macau dari 30 Oktober sehingga 4 November.

Disiarkan pada: October 8, 2018 @ 6:47pm
d