arena

Kenapa Fabinho tak main?

Oleh Agensi

LONDON: Persoalan kenapa pemain baharu yang ditandatangi Liverpool, Fabinho masih belum diturunkan Jurgen Klopp sepanjang musim ini mula mendapat perhatian pemerhati dan peminat.

Bagi pengulas sukan yang juga bekas penyerang Liverpool, Craig Bellamy, bos Liverpool itu memang menyedari keadaan berkenaan dan sentiasa memberi ruang kepada pemainnya merebut tempat.

Fabinho menyertai The Reds dari Monaco pada Mei lalu dengan nilai perpindahan 43.7 juta pound (RM237.86 juta).

Pemain antarabangsa Brazil ini mempamerkan aksi menarik sepanjang tiga tahun beraksi di Perancis sebelum diketepikan Liverpool.

Sehingga lapan perlawanan liga setakat ini, Fabinho masih belum mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Pemain berusia 24 tahun ini hanya tampil tiga kali termasuk dua kali dibawa masuk di babak kedua ketika aksi Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain dan Napoli.

Dia juga diturunkan ketika perlawanan Piala Liga menentang Chelsea bulan lalu, tetapi dikeluarkan sebelum Liverpool tumbang 1-2.

Selepas seri tanpa jaringan dengan Manchester City pada Ahad lalu, Bellamy mendesak supaya The Reds segera memburu pemain tengah yang kreatif.

“Mereka sebenarnya sudah cukup mantap, Liverpool sudah mantap terutama dengan kehadiran (Virgil) Van Dijk,”

“Saya tidak pasti adakah mereka perlukan seseorang yang lebih daripada itu.

“Saya rasa mereka perlukan pemain tengah bertahan yang mempunyai kreativiti kerana dia akan menguasai banyak bola,”

Bagaimanapun, seorang lagi bekas bek Liverpool, Jamie Carragher mencelah pendapat Bellamy dengan menegaskan, Fabinho adalah pemain yang memiliki karektor seperti yang diperlukan pasukan.

“Sebab itulah Fabinho dibeli, dia berharga lebih 40 juta pound (RM217.72 juta),” kata Carragher.

Bagaimanapun, Bellamy berkata, Jurgen Klopp perlu risau kerana Fabinho masih belum mencapai tahap yang diperlukan pasukan.

“Ya, cukup jelas. Wujud kebimbangan kerana dia masih belum beraksi,” katanya mengenai Fabinho.

Setakat ini, Liverpool masih mampu mengekalkan rentak cemerlang di Liga Perdana walaupun Fabinho tidak beraksi dan kini berkongsi 20 mata dengan Manchester City dan Chelsea.

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 11:55am
d