arena

Basikal para hadiah 2 emas, 1 perak

Oleh Haika Khazi

KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal para kebangsaan hari ini menghadiahkan dua pingat emas dan satu perak kepada kontinjen Malaysia di Sukan Para Asia Jakarta 2018.

Emas pertama Malaysia dihadiahkan bekas pemain bola sepak Piala Presiden T-Team, Zuhairie Ahmad Tazmizi yang menduduki tempat pertama acara lumba basikal lebuh raya individu lelaki kategori C5 di Litar Antarabangsa Sentul Jakarta, sebentar tadi.

Zuhairie yang kehilangan lima jari kanan akibat termasuk ke dalam mesin tebu beberapa tahun lalu mencatat masa terpantas 2 jam:18 minit: 58.155 saat sekali gus menewaskan seteru utamanya dan pemenang perak dari China, Lai Shanzhang, (2:18:58.328s) diikuti pelumba tuan rumah Marthin Losu, (gangsa).

Kejayaan Zuhairie turut membakar semangat gandingan Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dan jurumudinya Nurul Shuhada Zainal (jurumudi) untuk menghadiahkan emas kedua dari sukan berbasikal dalam acara lebuh raya wanita kategori B.

Terdahulu, Mohd Najib Turano yang turun beraksi untuk menjayakan misinya meraih emas pertamanya di Sukan Para Asia Jakarta 2018, terpaksa berpuas hati dengan perak selepas memberikan saingan sengit kepada pelumba China Wei Guoping yang meraih emas dengan catatan 2:11:23.665s berbading pelumba Malaysia berkenaan yang mencatat  2:11:24.307s, manakala pelumba Filipina Godfrey Taberna ketiga (2:11:24.359s).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pingat disumbangkan menerusi acara sukan basikal para kepada kontinjen Malaysia setakat ini ialah dua emas, tiga perak dan satu gangsa.

Media semalam melaporkan skuad berbasikal para kebangsaan menghadiahkan dua pingat perak dan satu gangsa kepada kontinjen Malaysia menerusi acara ujian masa individu lelaki C4, ujian masa tandem 30 kilometer (km) lebuh raya (ITT) lelaki dan wanita (B) di Litar Antarabangsa Sentul pada Sukan Para Asia Jakarta 2018, semalam.

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 8:33pm
d