arena

Peminat terus sokong Mourinho

Oleh AFP

LONDON: Bekas pengurus Manchester United, David Moyes percaya Jose Mourinho memperoleh sokongan penuh kelab Inggeris itu serta penyokongnya di sebalik permulaan hambar di awal musim.

Mourinho dilaporkan akan dipecat berdasarkan keputusan perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Newcastle, Sabtu lalu tetapi masih mengekalkan jawatannya selepas United bangkit daripada ketinggalan 0-2 dan menang 3-2.

Moyes yang menggantikan Alex Ferguson pada 2013 dipecat oleh United pada tahun pertama mengemudi kelab itu sekali pun menandatangani kontrak enam tahun dan penggantinya, Louis van Gaal, turut dipecat selepas menjuarai Piala FA.

Begitupun, bekas bos Everton itu berkata dia percaya United akan memberikan Mourinho masa sekali pun mereka ketika ini menghuni tangga kelapan Liga Perdana.

“Saya fikir kelab berada teguh di belakang pengurus, dan dia adalah pemenang, Jose, sepanjang kariernya, jadi saya tidak dapat melihat bagaimana ia secara tiba-tiba berubah,” kata Moyes, 55.

“Ia keputusan yang menakjubkan, mana-mana pasukan yang bangkit daripada ketinggalan 0-2. Tetapi satu perkara yang berlaku di Old Trafford ialah penyokong berada di belakang kamu, dan sentiasa menyokong pengurus dan pemain.”

Pengurus Derby, Frank Lampard yang kelabnya baru-baru ini menyingkirkan United dalam saingan Piala Liga di Old Trafford dan pernah bermain di bawah kendalian Mourinho di Chelsea percaya kebangkitan pada Sabtu lalu perlu digunakan pemain untuk meningkatkan tahap mereka.

“Kadang kala perkara menjadi sukar dan kamu perlu membuat keputusan yang sukar, cuba dan mempengaruhi orang di sekeliling kami, mempengaruhi pemain dan mendapatkan prestasi terbaik daripada mereka,” katanya.

“Saya fikir dia memiliki kesemuanya jadi saya berharap situasi akan berubah.”

Disiarkan pada: October 10, 2018 @ 12:49am
d