arena

Matic tarik diri skuad Serbia

Oleh Reuters

LONDON: Pemain tengah Manchester United, Nemanja Matic menarik diri daripada skuad Serbia bagi aksi Liga Negara Eropah menentang Montenegro dan Romania kerana kecederaan, menurut kelab Liga Perdana Inggeris itu semalam.

United mengesahkan Matic sudah kembali ke kelab itu untuk menjalani pemulihan di bawah bimbingan mereka, mencetus keraguan sama ada dia boleh bermain atau tidak apabila dia dan pengurus Jose Mourinho kembali ke Stamford Bridge untuk berdepan bekas kelab mereka Chelsea pada aksi liga selepas rehat antarabangsa pada 20 Oktober depan.

Matic, yang menyertai United dari Chelsea tahun lalu, sudah melakukan lapan penampilan bersama kelab itu musim ini.

Pemain berusia 30 tahun itu menyertai Luke Shaw dalam bilik rawatan selepas pertahanan kiri itu menarik diri daripada skuad England kerana kecederaan Isnin lalu.

Serbia berdepan Montenegro di Podgorica awal pagi Jumaat ini dan Romania di Bucharest tiga hari kemudian.

Disiarkan pada: October 10, 2018 @ 7:24am
d