arena

Ahli gabungan FAS tertipu

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Ahli gabungan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang menyokong memorandum untuk Kongres Luar Biasa diadakan bagi merombak kepemimpinan persatuan mendakwa mereka ‘ditipu’ individu tidak bertanggungjawab mengenai isu pelantikan dua Naib Presiden FAS.

Menurut Timbalan Presiden, Datuk Seri Shahril Mokhtar, hasil siasatan lanjut mendapati kebanyakan ahli gabungan diberi maklumat tidak tepat mengenai pelantikan Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal yang dikatakan melanggar perlembagaan persatuan.

“Sebenarnya pelantikan itu sah. Mereka sudah menjadi ahli kelab gabungan yang sah di bawah FAS,” kata Shahril menerusi kenyataan dikeluarkan badan induk itu hari ini.

“Susulan penafian itu dan pencerahan mengenai perkara berkenaan, kami seterusnya melancarkan siasatan terhadap isu ini yang dianggap serius dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada perancangan memajukan bola sepak di Selangor.

“Menerusi perbualan langsung dengan ramai ahli gabungan, kami dapati mereka diperdaya oleh individu yang memberi maklumat tidak tepat. Mereka terpedaya dengannya dan menyokong saranan untuk mengadakan Kongres Luar Biasa.

“Kami juga mengenal pasti berlakunya kes penipuan menerusi beberapa surat sokongan terhadap memorandum itu yang tidak ditandatangani, sekali gus menunjukkan ia adalah surat layang,” katanya.

Semalam, tersebar kenyataan media yang mempertikaikan perlantikan dua naib presiden itu dan memohon supaya Kongres Luar Biasa diadakan dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini, Presiden Kelab Bolasepak Frenz United, Roslin Shariff mendakwa pelantikan Izhar dan Dr Johan tidak sah kerana mereka bukan ahli gabungan FAS selain turut mengenepikan suara dan peranan ahli.

Jelas Shahril, susulan dari isu itu, Presiden FAS yang juga Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya Roslin mengadap baginda untuk mendapatkan maklumat berhubung tindakannya namun beliau gagal berbuat demikian.

“Tuanku Presiden memanggilnya untuk mendapatkan penjelasan sebenar tapi beliau gagal hadir,” katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2018 @ 1:54pm
d