arena

Sumareh positif bersama Harimau Malaya

Oleh Nazri Abu Bakar

PEMAIN naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh berjanji menampilkan persembahan terbaik sepanjang bersama pasukan kebangsaan bagi perlawanan persahabatan dan Kejohanan AFF Suzuki 2018, bulan depan.

Pemain Pahang itu juga sedia mengerah segala kudrat dan keupayaannya untuk dibuktikan kepada peminat dan rakyat negara ini yang menyokong penyertaannya bersama pasukan kebangsaan.

Menurut Sumareh, dia begitu teruja untuk menikmati aksi pertamanya bersama skuad negara pada pertemuan getir berdepan Sri Lanka di Colombo pada Jumaat ini.

"Begitu juga aksi kedua di gelanggang sendiri pada 16 Oktober ini di Melaka dan sesuatu yang positif perlu diterjemahkan,” kata Sumareh.

"Apa yang menarik, semua pemain yang terpilih memiliki kualiti, pengalaman dan keistimewaan masing-masing, malah komitmen tinggi mereka memberi impak terhadap kejayaan pasukan negara pada perlawanan persahabatan dan aksi sebenar kelak (AFF)."

Sumareh juga sedar tugasnya kini adalah meningkatkan kecergasan selepas berehat lebih dua minggu, sekali gus memastikan mampu mengikut corak latihan dan permainan diterapkan pengendali Tan Cheng Hoe.

"Memang wujud tekanan, namun ia dianggap sebagai cabaran yang harus dilunaskan demi meraih kejayaan terbaik buat skuad Harimau Malaya pada penyertaan sulung saya.

"Saya tidak memikirkan jaringan peribadi pada perlawanan pertama Jumaat ini, sebaliknya mahu memastikan kemenangan pasukan tanpa kira siapa yang meledak gol.

"Namun, jika mampu mencipta gol sudah pasti dianggap bonus da motivasi untuk saya bersama skuad negara," katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2018 @ 6:20pm
d