arena

'Aksi Wales, Sepanyol tanpa Bale'

Oleh Reuters

CARDIFF: Penyerang Wales Gareth Bale diketepikan bagi aksi persahabatan bertemu Sepanyol dan rakan sepasukannya di Real Madrid antaranya Sergio Ramos, esok selepas jurulatih, Ryan Giggs mengesahkan dia mengalami kecederaan.

Bale yang terpaksa digantikan bagi dua aksi La Liga menentang Atletico Madrid dan Alaves berikutan kecederaan juga belum dapat dipastikan boleh beraksi dalam kempen Liga Negara-Negara Eropah menentang Ireland pada 16 Oktober ini.

“Gareth mengalami sedikit keletihan otot dan tidak akan terbabit bagi aksi menentang Sepanyol,” kata Giggs pada aksi yang dijadualkan di Stadium Principality.

“Kami tidak mahu mengambil sebarang risiko dan kami akan menilainya setiap hari. Dia mahu bermain di Sepanyol tetapi pertama sekali adalah kesihatannya. Kami mahu Gareth Bale yang cergas dan bersedia untuk menggegar.”

Bale menghadapi deretan siri kecederaan sejak menyertai gergasi Sepanyol itu pada 2013 tetapi bekas pemain Tottenham itu sentiasa cergas hampir sepanjang tahun ini.

Pemain berusia 29 tahun itu dikeluarkan pada separuh masa pertama ketika Real diikat Atletico 0-0 bulan lalu tetapi tiada kecederaan dapat dikesan dan turut diketepikan ketika kekalahan mengejut 0-1 kelab itu kepada CSKA Moscow dalam aksi Liga Juara-Juara.

Bale kembali diturunkan ketika bertemu Alaves, minggu lalu tetapi dikeluarkan pada minit ke-80.

Giggs berkata dia masih belum pasti Bale boleh beraksi untuk menentang Ireland tetapi menjangkakan bintangnya itu patut bersedia bagi aksi Real seterusnya menentang Levante apabila La Liga kembali pada 20 Oktober nanti.

“Saya katakan 50-50 bagi perlawanan dengan Ireland,” kata Giggs. “Dia menjalani imbasan minggu lalu, beberapa minggu lalu dengan Real. Kami mengimbasnya semula dan melakukan segala-galanya yang termampu untuk meraih sebanyak mungkin maklumat.

“Ada sedikit tanda dalam kedua-dua imbasan itu. Sentiasa ada sesuatu. Kami merawat simptom itu tetapi tiada apa yang perlu dibimbangkan.”

Disiarkan pada: October 11, 2018 @ 12:12am
d