arena

'Saya mahu pikat semula Loew...'

Oleh AFP

BERLIN: Pemain sayap Manchester City, Leroy Sane berkata, dia mahu menjadikan kegagalan di Piala Dunia sebagai motivasi dan seterusnya memikat perhatian jurulatih Jerman Joachim Loew menjelang aksi Liga Negara-Negara menentang Belanda dan Perancis.

Walaupun dipilih sebagai Pemain Muda Terbaik Liga Perdana Tahunan musim lalu, Sane, 22, tetap gagal tersenarai dalam skuad Jerman yang kemudiannya tersingkir awal di Piala Dunia lalu.

Selepas tujuh minit beraksi sebagai pemain gantian ketika seri 0-0 menentang Perancis di Munich dalam aksi Liga Negara-Negara bulan lalu, Sane tidak bermain ketika Jerman menewaskan Peru 2-1 dalam aksi persahabatan di Sinsheim kerana menyambut kelahiran anak perempuannya.

Dengan tonggak utama yang beraksi di posisi sayap kiri Marco Reus mengalami kecederaan lutut, Sane berpeluang menunjukkan kemampuan apabila menentang Belanda di Amsterdam Sabtu ini dan Perancis Selasa depan.

"Saya kerap memikirkan mengenai musim panas dan berusaha meningkatkan prestasi dengan harapan ‘Jogi’ (Loew) tidak akan meninggalkan saya lagi,” kata Sane ketika sidang akhbar di Berlin, hari ini.

"Sudah tentu saya kecewa tidak beraksi di Piala Dunia tetapi ia menjadikan saya lebih bermotivasi. Saya mahu menjadi lebih baik setiap hari.”

Disiarkan pada: October 11, 2018 @ 12:22am
d