arena

Harap Le Graet diam

Oleh AFP

MADRID: Karim Benzema menjelaskan semalam dia berharap Noel Le Graet, presiden persekutuan bola sepak Perancis (FFF), akan berhenti bercakap mengenainya.

“Tuan Le Graet, saya minta anda lupakan mengenai saya,” tulis penyerang Real Madrid itu, yang tidak bermain buat Perancis sejak 2015, dalam laman Twitter.

Le Graet menyatakan dalam satu temu bual bersama akhbar Perancis bahawa karier Benzema, 30, bersama Les Bleus “sudah berakhir.”

Jawapan Benzema dalam Twitter lagi: “Perancis juara dunia dan ia perkara penting, selebihnya tidak berguna. Terima kasih,” sebelum menambah dalam tanda pagar bahasa Perancis dan Inggeris: “CaSuffit” (“Ia sudah cukup”) dan “Bagi saya ruang untuk berehat.”

Benzema, yang menjaringkan 21 gol serta 81 penampilan buat Perancis, tidak dipilih ke Piala Dunia dan tidak beraksi dengan skuad kebangsaan sejak dia didakwa kerana pembabitannya dalam kes peras ugut rakan sepasukan kebangsaan Mathieu Valbuena.

“Saya tidak bermaksud menentang Karim,” kata Le Graet. “Dia sering memberikan yang terbaik bersama pasukan Perancis, tapi saya fikir Les Bleus sudah berakhir buatnya, terutama kerana dia mungkin tidak secergas dulu.”

Mei lalu, selepas Le Graet menyatakan dalam satu temu bual penyerang itu adalah “sejarah kuno”, Benzema sekali lagi membalas dalam Twitter.

“Tuan Le Graet, dengan penuh hormat terhadap anda, anda terlepas peluang untuk mendiamkan diri,” tulisnya.

Benzema menanti arahan mahkamah Paris sama ada dia mempunyai kes untuk dijawab dalam skandal “video seks” Valbuena.

Disiarkan pada: October 11, 2018 @ 8:33am
d