arena

Rayna cipta sejarah di YOG

Oleh Jumiati Rosly

KUALA LUMPUR: Atlet gimrama negara, Rayna Hoh mencipta sejarah muncul gimnas wanita pertama negara merangkul pingat perak di Sukan Olimpik Remaja (YOG) yang berlangsung di Buenos Aires, Argentina hari ini.

Gimnas berumur 15 tahun itu bergabung dengan 12 gimnas daripada pelbagai negara mewakili pasukan Max Whitlock berjaya menduduki tempat kedua dalam acara gimnastik berpasukan yang menampilkan kesemua disiplin gimnastik - akrobatik, artistik lelaki, artistik wanita, gimrama, trampolin lelaki dan trampolin wanita dengan mengumpul keseluruhan 349 mata.

Pingat emas dimenangi pasukan Simone Biles yang mengumpul 293 mata sementara Oksana Chusovitina memperoleh gangsa apabila mengumpul 352 mata. Pasukan memperoleh mata berdasarkan ranking setiap disiplin disertai dan jumlah mata terendah muncul juara keseluruhan.

Rayna yang baru sahaja membolot lima emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Ipoh bulan lalu mempamerkan persembahan memukau dalam rutin gelung dan belantan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas itu adalah gimnas ketiga negara yang melayakkan diri ke YOG selepas Lee Wan Nin menyertai temasya edisi pertama di Singapura pada tahun 2010 sementara Olivia Tai Qing menyertai temasya lalu (2014) di Nanjing, China. 

Pemangku Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia, Kau Git Kaur meluahkan rasa gembira terhadap Rayna yang berjaya membuktikan kemampuan gimnas negara di samping gimnas luar yang lain.

"Saya gembira Rayna mencipta sejarah untuk pingat pertama gimnas kita di temasya yang besar. Berbanding sukan lain, sukan gimnastik mempunyai persaingan lebih sukar memandangkan bilangan penyertaan lebih ramai," katanya kepada NSTP.

Git Kaur berharap kemenangan itu membuka mata banyak pihak dengan mengharapkan peruntukan yang lebih banyak dapat diberikan kepada MGF untuk memajukan gimnas negara.

Disiarkan pada: October 11, 2018 @ 8:46pm
d