arena

Hazard pilih kekal di Chelsea

Oleh AFP

LONDON: Penyerang Chelsea Eden Hazard menafikan kemungkinan dia akan berpindah ke Real Madrid pada Januari depan meskipun masa depannya bersama kelab London itu mula hangat diperkatakan.

Pemain berusia 27 tahun itu yang kini bersama Belgium bagi tugasan antarabangsa akhirnya membuat penjelasan dalam sidang media hari ini.

Hazard secara berseloroh mengakui dia perlu bermain di Sepanyol jika mahu memenangi anugerah pemain terbaik dunia, Ballon d'Or.

"Sebab itu saya mahu pergi, mungkin," kata Hazard sambil tersenyum.

Ketika ditanya sama ada perpindahan itu akan berlaku pada Januari ini, dia menambah: "Tidak."

Hazard menjadi tonggak Chelsea yang masih belum tewas setakat ini di bawah kendalian Maurizio Sarri dengan meledak lapan gol dalam semua pertandingan.

Pemain antarabangsa Belgium itu dipilih sebagai pemain kedua terbaik Piala Dunia dan selepas mengetuai pasukan negaranya menduduki tempat ketiga di Russia, ia menyatakan bahawa "sudah tiba masanya" untuk cabaran baru dengan Madrid sebagai destinasi pilihannya.

Bercakap selepas kemenangan Chelsea 3-0 ke atas Southampton Ahad lalu, dia berkata: "Real Madrid adalah kelab terbaik di dunia. Saya tidak mahu menipu. Ia adalah impian saya sejak kanak-kanak lagi. Saya impikan untuk beraksi dengan kelab ini.

"Kita akan lihat. Saya tidak mahu bercakap mengenainya setiap hari. Saya tidak ada masa tapi kita akan bercakap mengenai masa depan saya nanti."

Kontrak Hazard dengan Chelsea bakal berakhir Jun 2020 dan dia mengakui kini berada di prestasi terbaik.

"Pasukan ini banyak membantu saya," katanya. "Saya pasti boleh meningkat. Kami boleh meningkat dalam permainan bola sepak. Kami boleh menjaringkan banyak gol dan mencipta banyak peluang."

Disiarkan pada: October 11, 2018 @ 10:44pm
d