arena

Bekas pemain MU Harbuzi meninggal dunia

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA: Hajat bekas pemain import Melaka United (MU), Labinot Harbuzi untuk kembali menyarung jersi skuad Hang Tuah musim depan tidak kesampaian selepas meninggal dunia di rumahnya di Sweden, semalam.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pemain yang pernah beraksi bersama Melaka pada 2016 itu sebelum ini ada menyuarakan keinginannya kembali beraksi bersama pasukan kepada ejen bulan lalu.

Bagaimanapun, katanya belum sempat sebarang perbincangan diadakan, pemain itu meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung awal pagi waktu Sweden.

Pemain itu sebelum ini turut meminta Yusoff menghubunginya berkaitan minatnya untuk kembali menyarung jersi MU.

"Disebabkan kesibukan saya selain aksi Liga Malaysia belum berakhir menyebabkan saya tidak berkesempatan menghubunginya sehingga kami dikejutkan dengan berita kematiannya hari ini.

"Kehilangannya dirasai peminat di negeri ini dan MUSA. Bila bercerita kejayaan MU, sememangnya sumbangan pemain bawah 21 (B-21) tahun Sweden itu tidak boleh dipisahkan dengan Melaka," katanya.

Kemahiran tinggi pemain yang juga rakan baik bintang tersohor Sweden, Zlatan Ibrahimovic itu membantu skuad Hang Tuah muncul juara Liga Perdana dan layak ke Liga Super 2017 antara dimensi manisnya bersama MU.

Kata Yusoff, MUSA amat terhutang budi dengannya dan kenangannya sepanjang bersama pasukan sentiasa menjadi ingatan.

Namun apa yang melegakan Yusoff, MUSA tidak menghadapi sebarang masalah dengan Harbuzi selepas persatuan itu membayar baki bonus yang dituntut menerusi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Beliau berkata, hubungan MUSA dan Harbuzi selepas itu tetap baik menerusi tindakan profesional kedua-dua pihak dan ia juga antara punca keinginannya kembali ke bumi Hang Tuah, namun semuanya tinggal kenangan.

Disiarkan pada: October 12, 2018 @ 3:19pm
d