arena

'Tolonglah saya FAM'

Oleh Rodly Fadly

KUALA LUMPUR: Jurulatih Perlis, Manja Man menyerahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membantu menyelesaikan kemelut tuntutan tunggakan gaji dihadapinya bersama Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) selepas pelbagai usaha menemui jalan buntu.

Manja yang dihubungi Sukan NSTP memberitahu, sehingga hari ini PFA masih mengambil sikap lepas tangan walaupun tempoh diberikan FAM untuk melunaskan tunggakan itu sudah hampir dua minggu berlalu.

“Gaji saya tidaklah sebesar mana sebagaimana jurulatih pasukan lain tapi apabila tertunggak selama lapan bulan, sedikit sebanyak ia menjejaskan kehidupan saya.

“Malah, saya lebih bersimpati dengan nasib pemain, sudahlah gaji tidak sebesar mana, tertunggak pula. Mereka kini benar-benar tersepit sehingga sudah ada yang berdepan tindakan bank kerana gagal menjelaskan hutang kereta.

“Sehingga hari ini, tidak ada tanda-tanda PFA akan melangsaikan tunggakan itu walaupun FAM sudah mengeluarkan arahan pada 3 September lalu. PFA hanya membisu malah semua panggilan dan mesej saya kepada mereka tidak berjawab. 

“Sebaliknya, saya diberitahu oleh seorang jurulatih skuad belia, pegawai persatuan itu mencabar supaya mereka mengadu kepada persatuan jurulatih (Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia),” jelas Manja.

Pada 3 September lalu, FAM mengarahkan PFA agar melangsaikan tunggakan gaji pemain dan pegawainya berjumlah RM461,500 dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan.

Jika gagal, kes berkenaan akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan rasmi.

“Saya difahamkan Perlis boleh digantung daripada menyertai pertandingan musim depan jika masih gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji itu. Jika ia berlaku, ia adalah satu kerugian kepada bola sepak negeri  ini.”

Justeru, Manja berharap barisan kepemimpinan baharu yang bakal dipilih untuk menerajui PFA dalam mesyuarat agung luar biasa Ahad ini dapat mencari jalan untuk menyelesaikan kemelut itu sebelum FAM mengambil tindakan drastik.

Disiarkan pada: October 12, 2018 @ 3:42pm
d