arena

Jin Wei ke final Olimpik Belia

Oleh Jumiati Rosly

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan badminton negara, Goh Jin Wei menghampiri sasaran untuk menghadiahkan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Belia (YOG) Buenos Aires 2018 selepas mara ke final yang berlangsung awal pagi esok.

Pembawa Jalur Gemilang ketika majlis perasmian itu mara apabila bangkit menewaskan Phittayaporn Chaiwan dari Thailand 19-21, 21-15, 21-13 pada aksi separuh akhir perseorangan wanita yang diadakan di Technopolis.

Jin Wei, 18, yang juga juara remaja dunia 2015 itu akan berentap dengan pemain China, Wang Zhiyi yang mudah mara ke final selepas menewaskan Hooi Yue Yann dari Singapura 21-11, 21-10.

Sebelum ini, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria meletakkan sasaran untuk kontinjen negara merangkul sekurang-kurangnya satu pingat emas pada edisi ketiga YOG tetapi enggan menamakan atlet yang diharapkan.  

Pada edisi lalu di Nanjing 2010, pemain badminton lelaki negara, Cheam June Wei yang berpasangan dengan pemain Hong Kong, Ng Tsz Yau merangkul pingat emas acara beregu campuran.

Bagaimanapun, kemenangan itu tidak disenaraikan di dalam pungutan pingat Malaysia kerana mereka bertanding di bawah bendera Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC). 

Disiarkan pada: October 12, 2018 @ 4:13pm
d