arena

India, Britain berentap lagi di final

Oleh Rizar Mohd Noor

JOHOR BAHRU: Naib juara Britain menepati ramalan untuk mara ke final Piala Sultan Johor selepas mengejutkan India 3-2 pada aksi kejohanan Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, sebentar tadi.

Britain layak ke final dua tahun berturut-turut dan sekali lagi akan bertemu India – mengulangi aksi final edisi keempat dan kelima - di mana India menewaskan Britain 2-1 (edisi 2014) sebelum Britain menang menerusi penentuan penalti 4-3 selepas aksi sebenar terikat 3-3 (edisi 2015). 

Pengendali Britain Jon Bleby menganggap kemenangan yang diraih menyuntik semangat buat barisan pemainnya apabila sekali lagi bertemu India yang dianggap mantap pada saingan kali ini.

"Pemain saya beraksi dengan baik. Mereka tunjuk karakter positif pada perlawanan itu dengan kekuatan mental menandingi skil pemain India dan sudah pasti ia final yang menarik tatkala kami sekali lagi menentang India," kata Bleby.

"Untuk final kali ini, hanya Jack Turner sahaja yang pernah beraksi pada final edisi ketujuh sebelum ini manakala pemain lain akan beraksi buat pertama kali."

India terlebih dahulu mencipta jaring pada minit kelima menerusi pukulan sudut penalti Vishnukant Singh, namun selang seminit kemudian Britain bangkit menyamakan jaringan menerusi gol padang Cameron Golden.

Anak didik Sebastian yang berazam untuk menamatkan saingan round robin tanpa kalah berjaya menambah jaringan pada minit ke-20 hasil gol pukulan sudut penalti Shilanand Lakra untuk mendahului 2-1.

Bagaimanapun, Britain sekali lagi bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-39 menerusi jaringan pukulan sudut penalti Stuart Rushmere dan jaringan kapten Edward Way pada minit ke-51 memusnahkan rekod tanpa kalah India.

Ketua jurulatih India, Jude Sebastian mengakui barisan pemainnya gagal mempamerkan aksi konsisten biarpun pada awalnya tampak selesa untuk mendahului Britain 2-1.

"Kami bermula dengan baik selepas mendahului 1-0 dan selepas itu 2-1 tapi kedudukan itu tidak bertahan lama apabila gagal mengekalkan momentum. Kesempatan itu diambil sepenuhnya Britain untuk mencipta kemenangan,” kata Sebastian.

“Untuk aksi final malam esok, kami tidak boleh mengulangi kesilapan jika mahu muncul juara edisi kelapan. Pemain perlu tampilkan prestasi terbaik mereka dan kami perlu menunjukkan corak permainan yang lebih kemas."

Disiarkan pada: October 12, 2018 @ 8:40pm
d