arena

'Saya akan beraksi sehingga akhir musim'

Oleh AFP

LONDON: Aaron Ramsey bercadang untuk kekal di Arsenal bagi baki musim ini dan tidak berpindah Januari depan selepas rundingan kontraknya bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu gagal.

Arsenal mungkin boleh mengaut keuntungan dengan menjual pemain tengah berusia 27 tahun itu ketika jendela perpindahan pemain Januari depan dengan kelab besar Liga Perdana, La Liga dan Serie A dilaporkan memantau situasi itu.

Namun Ramsey, yang akan menjadi ejen bebas hujung musim ini berkata: “Saya masih memiliki kontrak dengan Arsenal dan saya mahu memberikan aksi terbaik musim ini serta cuba untuk mencapai sesuatu yang istimewa.

“Semua perkara saya lalui bersama kelab ini hebat. Kami fikir berada dalam posisi mendapat persetujuan bersama mengenai kontrak tapi tidak.

“Jadi sekarang saya mahu terus bermain bola sepak dan melakukan yang terbaik untuk Arsenal musim ini dan selebihnya saya serahkan kepada kelab untuk membuat keputusan.”

Pemain kebangsaan Wales itu yang menjaringkan gol menakjubkan menggunakan tumit Arsenal membelasah Fulham 5-1 hujung minggu lalu sudah mengumpul 59 gol dalam 338 penampilan bersama Arsenal sejak berpindah dari Cardiff pada 2008.

Ditanya sama ada dia kecewa apabila hingga kini masih tidak mencapai persetujuan mengenai kontrak, Ramsey berkata: “Ia keputusan yang dibuat oleh mereka (Arsenal) dan dalam bola sepak ini boleh berlaku. Anda hanya perlu berdepan dengan situasi ini dan terus mempamerkan permainan terbaik.”

Pengurus Arsenal, Unai Emery baru-baru ini berkata, isu kontrak Ramsey tidak memberi kesan kepada persembahannya.

“Setiap pemain, mereka memiliki situasi dengan kontrak masing-masing,” kata Emery mengenai Ramsey. “Dia pemain utama kami dan dia akan membantu kami dengan persembahannya.”

Disiarkan pada: October 12, 2018 @ 9:45pm
d