arena

Sokong batal peraturan 18!

Oleh Azizan Hashim

IPOH: Mehmet Durakovic memuji keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membatalkan peraturan 18 pendaftaran pemain asing bagi liga Malaysia musim 2019.

Bagi jurulatih pasukan The Bos Gaurus itu, ia akan membuka peluang kepada lebih ramai pemain luar beraksi di negara ini.

“Saya memang setuju 100 peratus. Jika sesebuah pasukan atau jurulatih berkenan dengan seseorang pemain, beliau boleh ambil pemain itu tidak kira dia dari liga bawahan. Terpulang kepada pasukan bagaimana mengadun pemain itu kemudian.

“Sebenarnya ada ramai pemain import berkaliber dari liga bawahan tapi tidak boleh beraksi dalam Liga M. Berikutan peraturan 18 iaitu kelayakan negara pemain asing yang boleh didaftarkan dalam Liga Malaysia, pemilihan pemain asing dalam pasukan terhad,” katanya mengulas keputusan lembaga pengarah MFL membatalkan peraturan 18, pendaftaran pemain asing, Artikel 18.2(f), manual Liga Malaysia.

Ini kerana pasukan yang bertanding terbeban dengan kos untuk mengambil pemain liga luar negara dari divisyen lebih tinggi kerana pasukan perlu menurut kelayakan yang ditetapkan dalam peraturan itu.

Durakovic berkata, pembatalan peraturan itu memberi kebebasan kepada persatuan negeri untuk mengambil pemain mengikut kemampuan mereka.

“Persatuan yang mampu ambillah pemain yang mahal manakala yang tidak mampu cari yang lebih murah. Mungkin mereka boleh dapat pemain berwibawa dari liga bawahan dengan harga yang murah. Apa salahnya.

“Cuma jurulatih dan pegawai pasukan kena buat kerja rumah bagi mendapatkan pemain berwibawa,” katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2018 @ 11:00pm
d