arena

Henry ada tokoh jurulatih hebat

Oleh AFP

BRUSSELS: Jurulatih Belgium, Roberto Martinez yakin Thierry Henry mampu menjadi ‘jurulatih yang hebat’ apabila bintang juara dunia Perancis itu mengambil alih Monaco.

Bekas bintang Arsenal itu menjadi pilihan untuk menggantikan Leonardo Jardim yang dipecat pertengahan minggu lalu rentetan keputusan buruk menyebabkan Monaco kini berada di kedudukan tempat ke-18 saingan Ligue 1 Perancis.

Ketika Henry mengendalikan perlawanan antara Belgium dan Switzerland dalam saingan Liga Negara-Negara di Brussels, laman web L'Equipe memaklumkan bekas juara dunia 1998 itu ‘bersetuju’ mengikat perjanjian tiga tahun bersama Monaco.

Henry akan meninggalkan Belgium, hari ini untuk ke Monaco yang mana kontrak tiga tahun akan dimuktamadkan.

Laporan memaklumkan: “Dia akan membuat pengumuman kepada media Isnin ini.”

Selepas Belgium menundukkan Switzerland 2-1, Martinez berkata beliau tidak menyedari laporan mengenai Henry akan meninggalkan tugas sebagai pembantu jurulatih kepada skuad kebangsaan.

“Thierry Henry akan pergi? Anda mesti lebih mengetahuinya daripada saya. Saya tidak boleh mengesahkan berita ini tapi anda semua tahu dia akan meninggalkan kami satu hari nanti,” kata Martinez.

“Sama ada Sabtu ini, seminggu atau enam bulan, kami sudah bersedia untuk itu.  Thierry akan membawa semua pengalamannya dan dia akan pergi. Dia akan mendapat sokongan penuh daripada kami.

“Thierry mempunyai potensi untuk menjadi seorang jurulatih hebat dan ia akan berlaku dengan cepat.”

 

 

Disiarkan pada: October 13, 2018 @ 8:48am
d