arena

Denmark ikat Ireland

Oleh AFP

DUBLIN: Republik Ireland sekali lagi terpaksa menunggu lebih lama untuk merekodkan kemenangan pertama dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah, apabila hanya sekadar seri 0-0 ketika menentang Denmark, awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Martin O’Neill kini menghuni tangga paling bawah kumpulan, selepas tumbang 1-4 kepada Wales dalam aksi pembukaaan mereka.

Beraksi di Stadium Aviva Dublin, Ireland terus gagal meraih kemenangan dalam empat perlawanan terakhir mereka dalam kejohanan kompetitif.

Denmark pula menumbangkan Wales dalam aksi pertama, dan kini mengumpul empat mata selepas mengharungi dua perlawanan yang menawarkan slot ke Euro 2020.

Dalam pertembungan pagi tadi, Matt Doherty memulakan aksi dalam kesebelasan utama ketika O’Neill melakukan enam pertukaran ke atas skuad Ireland.

Begitu juga dengan pemain tengah Cardiff, Harry Arter yang diberi peluang untuk diturunkan selepas kembali bersama pasukan – susulan isu berselisih pendapat dengan penolong pengurus, Roy Keane.

Denmark pula beraksi tanpa pemain tonggak mereka, Christian Eriksen selepas bintang Tottenham itu mengalami kecederaan.

Ketika perlawanan berlangsung lima minit, suasana tegang berlaku selepas pemain Denmark, Thomas Delaney cuba meneruskan permainan selepas Arter terjatuh akibat kecederaan. Aksi terhenti seketika sebelum Jeff Hendrick merampas bola dan cuba menjaringkan gol namun sepakannya tidak menemui sasaran.

Situasi itu sekaligus menyebabkan berlakunya perang mulut dan ketegangan di atas padang.

Arter kemudiannya melakukan halangan menyelamat di atas garisan gol pada minit ke-58, untuk memastikan skuadnya kukuh mempertahankan kubu. Bola tandukan Simon Kjaer itu hampir melepasi garisan gol, selepas menerima hantaran sepakan sudut Lasse Schone sebelum diselamatkan Arter.

Sementara itu, Shane Long yang bergandingan baik dengan Cyrus Christie turut melakukan percubaan dari luar kotak penalti, namun diselamatkan penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel.

Denmark juga mempunyai peluang terbaik menerusi percubaan Pione Sisto, namun usahanya digagalkan Darren Randolph.

Disiarkan pada: October 14, 2018 @ 7:39am
d