arena

Euro 2020 fokus utama Itali

Oleh AFP

MILAN: Roberto Mancini menegaskan, jika Itali gagal di pentas Liga Negara-Negara, ia bukannya satu drama kerana objektif utamanya adalah menjadi kompetitif di Euro 2020.

Mancini mengambil alih tugas jurulatih Itali pada Mei lalu, selepas juara dunia empat kali itu gagal layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Russia. 

Begitupun sejak itu, Itali hanya menang satu perlawanan - persahabatan menentang Arab Saudi dan ketika ini, menghuni tangga tercorot Kumpulan A3, Liga Negara-Negara Eropah selepas mengumpul satu mata daripada dua aksi.

“Sasaran kami adalah untuk bersedia bagi Euro 2020,” kata bekas pengurus Manchester City dan Inter Milan itu menjelang aksi melawan Poland, awal pagi esok.

“Jika kami tewas esok, ia tidak banyak mengubah apa-apa. Ia bukannya seperti kami terlepas aksi di Euro dan tidak akan bermain lagi. Ia boleh berlaku kepada England, Croatia atau Belanda.

“Liga Negara-Negara dicipta supaya negara-negara tidak memandang mudah perlawanan persahabatan. Saya tidak dapat lihat perlunya ada drama di situ.”

Itali diikat 1-1 oleh Poland di Bologna bulan lalu, dan tewas 0-1 kepada juara Eropah, Portugal. Pertembungan esok adalah bagi mengelak kedudukan tercorot kumpulan. 

Pertahanan Itali, Leonardo Bonucci sebelum ini lantang mengkritik dengan berkata, situasi menjadi semakin buruk buat pasukan itu sejak kegagalan mereka ke Piala Dunia, tetapi Mancini menafikannya.

Sebelum ini, Itali diikat 1-1 oleh Ukraine pada aksi persahabatan, Khamis lalu di Genoa.

“Saya tidak fikir bola sepak kami ketika ini di tahap kosong atau bawah kosong,” kata bekas pemain kebangsaan Itali berusia 53 tahun itu. 

“Bola sepak kami ketika ini secara teknikalnya berada pada tempoh masa di mana kami sedang cuba membina pasukan selepas Piala Dunia.  

“Ia berlaku kepada semua negara, dan ketika ini kepada Itali. Kami perlu sabar dan bersatu. Kami sedang bekerja dan saya fikir kami akan memperoleh pasukan hebat yang akan membuatkan kami bangga.”

 

Disiarkan pada: October 14, 2018 @ 8:02am
d