arena

Hazard 'rindu' Mourinho

Oleh AFP

LONDON: Bintang Chelsea, Eden Hazard menyuarakan rasa kagum terhadap pengurus Manchester United, Jose Mourinho dan mengakui menyimpan hasrat untuk kembali dibimbing pengendali dari Portugal itu.

Penyerang Belgium itu beraksi di bawah kendalian Mourinho di Stamford Bridge selama lebih dua tahun dan menjadi sebahagian tonggak ketika Chelsea menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris pada musim 2014-15.

Begitupun, susulan prestasi yang merudum pada musim berikutnya dengan laporan mengatakan segelintir pemain senior bertelagah dengan Mourinho, pengurus itu meninggalkan kelab berkenaan pada Disember 2015.

Hazard yang akan bertemu bekas pengurusnya itu - ketika Chelsea menanti kunjungan United, Sabtu depan dalam aksi liga mengakui dia ketika itu terlalu selesa selepas mengharungi kempen yang baik.

“Selama 12 tahun saya hanya mengharungi satu musim yang buruk, enam bulan terakhir di bawah kendalian Mourinho, sebahagian kesalahan itu datang daripada saya,” kata Hazard. 

“Selepas menjulang kejuaraan, kami meminta kepada pengurus cuti yang lebih panjang. Saya kembali dengan keadaan fizikal yang buruk.

“Imej Mourinho sebagai jurulatih yang sentiasa mempertahankan diri dengan ekstrim tidak begitu betul. Dia jauh lebih berpengalaman seperti (Pep) Guardiola, tetapi pada musim kami menjadi juara, kami meledakkan banyak gol dan mengharungi permainan yang baik... kami adalah pasukan yang memenangi banyak kejuaraan.”

Tetapi Hazard menggambarkan musim terakhir di bawah kendalian jurulatih itu bukan sesuatu yang menyenangkan.

“Kami tidak menang, kami mengharungi satu rutin, latihan, latihan tanpa meraih kegembiraan, ia adalah sesuatu yang baik untuk kedua-dua pihak apabila kerjasama itu berakhir,” katanya.

“Jika kini saya ditanya dengan jurulatih mana saya ingin kembali bekerjasama, saya akan berkata, Mourinho.” 

Masa depan Hazard di Chelsea sentiasa menjadi subjek spekulasi dan pada minggu ini, dia berkata mungkin akan berpindah ke Sepanyol dalam usaha memenangi anugerah Ballon d'Or. 

Penyerang itu berkata impiannya adalah untuk bermain di Real Madrid, satu lagi kelab yang pernah diuruskan oleh Mourinho.

Disiarkan pada: October 14, 2018 @ 10:31am
d