arena

Leishman bergelar juara baru CIMB Classic

Oleh Farah Azharie

KURANG dua minggu lagi Marc Leishman akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-35, namun dia menerima ‘hadiah’ lebih awal selepas muncul juara CIMB Classic di TPC Kuala Lumpur, hari ini.

Pemain sensasi Australia itu melakukan empat birdie berturut-turut di sembilan lubang pertama dengan jumlah lapan birdie serta satu bogey untuk merakam tujuh bawah par 65 pada hari terakhir sekali gus mengumpul 26 bawah par 262 keseluruhan.

Dia menang selesa dengan kelebihan lima pukulan berbanding pencabar utama dari Amerika Syarikat, Chesson Hadley serta pendahulu hari pertama, Bronson Burgoon dan wakil Argentina, Emiliano Grillo yang berkongsi tempat kedua.

Dalam penampilan keenamnya, Leishman meraih kemenangan Jelajah PGA keempat selepas gagal meraih sebarang kemenangan selama dua musim sekali gus membolot hadiah bernilai AS$1.26 juta (RM5.2 juta).

Dia berharap dapat meneruskan aksi konsisten pada kejohanan Piala CJ di Korea Selatan, minggu depan.

“Selepas memenangi dua kejohanan dua musim lalu, saya tak menang sebarang kejohanan tahun ini. Akhirnya saya dapat melakukannya minggu ini.

“Harap saya dapat meneruskan aksi konsisten ini di Korea Selatan, minggu depan dan Piala Dunia (di Melborune pada 22 hingga 25 November ini) serta saingan PGA Australia pada hujung tahun ini,” katanya.

Leishman mengetepikan cabaran pendahulu hari ketiga dari India, Shubhankar Sharma yang gagal meneruskan rentak cemerlang untuk muncul pemain pertama Asia memenangi CIMB Classic selepas bolanya masuk ke dalam kolam di lubang ke-11.

“Saya tidak bermula dengan baik tapi saya cuba untuk bangkit semula. Saya melakukan empat birdie berturut-turut dan saya tahu masih mempunyai peluang untuk menang.

“Tapi saya tak bernasib baik di lubang ke-11 apabila bola masuk ke dalam air dan ia hayunan paling teruk saya lakukan.

“Selepas itu saya gagal melakukan pukulan dengan baik,” kata Shubhankar, pemenang Kejuaraan Maybank tahun ini yang melakukan keseluruhan 19 bawah par 269 untuk menamatkan saingan dengan berkongsi tangga ke-10.

Sementara itu, juara bertahan, Justin Thomas mengumpul 20 bawah par 268 untuk menamatkan kempen berkongsi tangga kelima.

Disiarkan pada: October 14, 2018 @ 9:21pm
d