arena

Dzeko ada hati ke England semula

Oleh Agensi

LONDON: Edin Dzeko ‘gembira’ di AS Roma tetapi penyerang Bosnia-Herzegovina itu terbuka untuk kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris.

Bekas penyerang Manchester City itu hampir membuat kepulangan semula ke England pada Januari lalu tetapi perpindahannya ke Chelsea tidak menjadi kenyataan.

“Mengenai Liga Perdana Inggeris, mungkin ia terlalu lewat,” kata Dzeko yang pernah menjulang dua gelaran liga bersama City pada musim 2012 dan 2014. “Tetapi kita tidak pernah tahu.

“Saya memperoleh empat setengah tahun yang hebat di sana, dan saya gembira setiap kali saya diberikan peluang bermain. Saya menggemari Liga Perdana dan England, jadi kita akan lihat.

“Ketika ini saya gembira di Rome.”

Penyerang berusia 32 tahun itu menjaringkan 50 gol dalam 130 penampilan bersama City bermula daripada musim 2011 hingga 2016 selepas meninggalkan kelab Jerman, Wolfsburg.

Kempen terbaiknya tiba pada musim 2013-14 dengan Dzeko menjaringkan 16 gol dalam kempen liga dan meledak 10 lagi jaringan dalam kejohanan berbeza.

Sejak berpindah ke Rome, penyerang itu tidak memperlahankan rentaknya apabila menyumbat 78 gol dalam 157 penampilan bersama kelab Itali itu.

Dzeko sudah menjaringkan dua gol dalam kempen Serie A musim ini dan meledak hatrik ketika Roma menewaskan Viktoria Plzen dalam kempen Liga Juara-Juara.

Disiarkan pada: October 15, 2018 @ 1:53pm
d