arena

Skuad B-19 mampu gegar Indonesia

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Penaja pasukan bola sepak Malaysia, Yakult (M) Sdn Bhd optimis skuad Bawah 19 tahun (B-19) mampu mencipta kejutan pada Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 yang akan membuka tirainya di Indonesia, minggu depan.

Keyakinan itu disuarakan Pengarah Urusannya, Hiroshi Hamada yang percaya skuad bimbingan Bojan Hodak itu dapat memberi cabaran kepada pasukan lain dalam usaha mara ke saingan Piala Dunia Bawah 20 (B-20) di Poland, tahun depan.

“Sebagai penaja kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saya melihat skuad B-19 berada pada tahap yang terbaik menjelang kejuaraan AFC yang bakal bermula 18 Oktober ini.

“Sememangnya harapan kita pada saingan ini amatlah tinggi iaitu untuk melihat Malaysia mara ke saingan Piala Dunia B-20 dan berdasarkan pengalaman Yakult membawa pasukan ini beraksi di Piala Sanix sebelum ini, saya yakin dengan mutu permainan mereka.

“Saya mengharapkan agar mereka semua dapat memberikan aksi yang terbaik nanti selepas berjaya mencatat sejarah memenangi Kejuaraan B-19 Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018 sebelum ini,” katanya.

Anak buah Hodak itu diundi dalam Kumpulan D bersama Arab Saudi, Tajikistan dan China dengan mereka terlebih dahulu akan berdepan Arab Saudi di Stadium Patriot Chandrabhaga, 20 Oktober ini.

Mereka kemudiannya akan bertemu Tajikistan di gelanggang sama pada 23 Oktober sebelum menutup aksi peringkat kumpulan menentang China di Stadium Pakansari, pada 26 Oktober.

Pencapaian terbaik skuad negara pada Kejuaraan B-19 AFC adalah muncul naib juara dalam tiga edisi iaitu pada 1959,1960 dan 1968.

Sebagai rekod, pembabitan Yakult dalam arena sukan tempatan bukanlah perkara yang asing lagi kerana mereka adalah penaja rasmi bagi FAM dan Institut Sukan Negara (ISN).

Malah, minuman Yakult juga diiktiraf sebagai minuman rasmi FAM  dan juga ISN dengan setiap satu sen akan disumbangkan kepada pembangunan bola sepak negara bagi setiap botol Yakult yang terjual.

Disiarkan pada: October 15, 2018 @ 5:11pm
d