arena

Tunggu dana kerajaan

Oleh Syafiq Aznan

 

KUALA LUMPUR: Skala operasi dan pengurusan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) untuk tahun depan bergantung sepenuhnya kepada jumlah dana akan disuntik untuk melaksanakan program terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Safirul Azli Abu Bakar berkata, meskipun program terbabit tetap akan diteruskan seperti biasa, keputusan muktamad mengenai struktur dan pengurusannya dijangka hanya akan dapat diputuskan awal November ini.

“Sebab itulah kita belum putuskan mengenai struktur dan program yang akan dijalankan tahun depan kerana semuanya bergantung pada dana yang akan diputuskan kerajaan.

“Jika kita putuskan sekarang, namun selepas ini kita tidak mendapat dana yang secukupnya, sudah tentu sukar untuk kita menjalankan perancangan sudah disusun. Jadi kami pastikan komitmen daripada segi dana itu dulu barulah kita putuskan selepas ini,

“Apapun, kita akan bersedia dengan pelbagai kemungkinan dan pelan sokongan tetap akan difikirkan sekiranya kita berdepan kekangan kewangan untuk tahun depan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemantau NFDP di Bukit Jalil, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai mesyuarat terbabit yang membincangkan mengenai hala tuju program terbabit, Safirul menjelaskan perkembangan positif dapat disaksikan dalam mesyuarat disertai pemegang taruh seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Semua pihak menunjukkan kesungguhan untuk bekerjasama selain turut berkongsi input untuk mencari langkah terbaik supaya program ini dapat ditambah baik.

“Memang sebelum ini kerjasama membabitkan pembangunan akar umbi dengan beberapa pihak itu dilihat kurang kemas atas kekangan yang timbul namun komitmen semua pihak nampak begitu jelas untuk memastikan ia dapat diteruskan,” katanya.

 

Disiarkan pada: October 15, 2018 @ 6:58pm
d