arena

Pemain Asia kempunan

Oleh Farah Azharie

 

KUALA LUMPUR: Ketika nasib Kejuaraan CIMB Classic di Malaysia selepas ini masih belum pasti, penantian untuk menyaksikan pemain golf Asia merangkul gelaran satu-satunya Jelajah PGA di Asia Tenggara itu terus berpanjangan.

Ia susulan dominasi ditunjukkan pemain Amerika Syarikat (AS) yang menjulang trofi sejak kali pertama kejohanan itu diadakan pada 2010 menerusi enam pemenang berbeza.

Ia termasuk juara dua kali Justin Thomas (2015, 2016), Ryan Moore (2014, 2013), Ben Crane (2010), Bo Van Pelt (2011), Nick Watney (2012) dan Pat Perez (2017).

Namun wakil Australia, Marc Leishman (26 bawah par 262) menamatkan dominasi itu dengan kemenangan lima pukulan mengatasi tiga pemain di kedudukan kedua iaitu Bronson Burgoon dan Chesson Hadley (AS) serta Emiliano Grillo (Argentina).

Pendahulu kedudukan Jelajah Asia ,Shubhankar Sharma memberikan penyokong tempatan sedikit harapan apabila mendahului saingan bersama Leishman dan Gary Woodland (AS) ketika memasuki pusingan terakhir.

Bagaimanapun kesilapannya pada lubang ke-11 kedudukan pemenang Kejohanan Maybank 2017 berusia 22 tahun itu merosot ke tangga ke-10 menerusi catatan 19 bawah par 269, menyamai keputusan dicapai lima lagi pemain golf Asia termasuk Jeev Milkha Singh pada 2011.

Penamat terbaik pemain Asia dilakukan wakil Jepun, Hideki Matsuyama yang muncul naib juara pada edisi 2016 diikuti pemain India, Anirban Lahiri dan Kang Sung-hoon (Korea Selatan) yang masing-masing menduduki tangga ketiga pada 2016 dan 2017.

Pencapaian terbaik wakil Malaysia pula adalah menerusi bekas pemain nombor satu Malaysia dan Olimpian 2016, Danny Chia yang berkongsi kedudukan ke-13 pada 2011.

Ada yang mempertikaikan saingan kali ini hanya diwakili 26 peserta bukan daripada AS dalam kalangan 78 pemain beraksi dan daripada jumlah itu, hanya 14 wakil Asia termasuk dua dari Malaysia iaitu Ben Leong dan Jeremiah Kim Leun Kwang.

Namun sememangnya pemain golf AS berhak berdasarkan prestasi semasa yang kini menduduki enam daripada 10 kedudukan terbaik Ranking Golf Dunia dengan Dustin Johnson di tempat pertama.

Disiarkan pada: October 15, 2018 @ 8:20pm
d