arena

Beri penekanan hoki 5 sebelah

Oleh Saiful Affendy Sapran

KUALA LUMPUR: Kejayaan skuad bawah 18 tahun negara mencipta sejarah memenangi pingat emas acara hoki lima sebelah pada Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina membuktikan Malaysia mempunyai potensi besar di dalam acara itu.

Justeru, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berharap program pembangunan hoki negara akan dapat memberi lebih penekanan kepada acara berkenaan, tidak hanya hoki padang yang sering diberi tumpuan utama sebelum ini.

“Mereka ini hampir kebanyakannya adalah daripada program 1Mas dilaksanakan oleh MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) sejak sekian lama.

“Apa yang menariknya adalah dalam usia seawal itu, mereka menunjukkan potensi besar dalam acara hoki lima sebelah.

“Saya ada berbincang dengan Presiden MHC, Datuk Seri Subahan (Kamal) bahawa pembangunan hoki lima sebelah ini perlu diberi penekanan dalam beberapa aspek seperti kemahiran individu yang amat diperlukan dalam acara ini.

“Kami akan melihat kerjasama yang boleh dilakukan dengan MHC untuk acara lima sebelah ini,” katanya.

Pada aksi final awal pagi tadi, skuad negara bangkit menewaskan India 4-2 sekali gus menyumbang emas kedua kontinjen negara selepas pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei menghadiahkan emas pertama negara, Sabtu lalu.

Ia adalah pencapaian paling gemilang negara di temasya itu dengan memenangi dua pingat emas dan satu perak. Pingat perak disumbangkan gimnas negara, Ryana Hoh sebelum ini.

Disiarkan pada: October 15, 2018 @ 8:28pm
d