arena

PAFA harap 5 pemain tak cedera

Oleh Zulfaizan Mansor

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) berharap tidak menerima berita buruk mengenai lima tonggak mereka selepas 90 minit aksi persahabatan antara Malaysia dan Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat, esok.

Lima pemain Bos Gaurus termasuk penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Saad, Amirul Azhan Aznan, Kenny Pallraj dan Nor Hakim Hassan menyertai skuad kebangsaan sejak aksi persahabatan berdepan Sri Lanka di Colombo Jumaat lalu.

Justeru, Setiausaha Agung PAFA, Abd Aziz Yeop Jamaluddin berkata, pihaknya sangat mengharapkan lima pemain itu pulang ke pangkuan Bos Gaurus tanpa sebarang kecederaan.

Abd Aziz berkata, khidmat mereka sangat diperlukan untuk mengharungi aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia berdepan Sabah di Stadium Likas, Ahad ini.

“Kita harap mereka tidak cedera kerana ini peluang terbaik kita untuk ke final Piala Malaysia selepas beberapa tahun mencuba,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

“Walaupun kita sudah cuba merayu lima pemain itu dikecualikan daripada menyertai skuad kebangsaan, tapi tak dapat. Sekarang ini kita cuma boleh berharap mereka kembali kepada pasukan dalam keadaan baik.”

Perak kini sudah selangkah ke final Piala Malaysia selepas mencatat kemenangan besar 5-0 pada separuh akhir di Ipoh, 7 Oktober lalu.

Disiarkan pada: October 15, 2018 @ 10:16pm
d