arena

Piala Cabaran milik TFC II

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC II (TFC II) melakar sejarah muncul juara sulung Piala Cabaran selepas menundukkan UKM 2-0 dalam perlawanan akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Skuad kendalian Tengku Hazman Raja Hassan yang mengikat UKM 2-2 pada aksi final pertama 8 Oktober lalu di Stadium Shah Alam menang dengan agregat 4-2.

Penyerang import kelahiran Nigeria, Akanni Sunday Wasiu muncul wira apabila meledak dua gol buat pasukannya.

Kejayaan skuad itu yang sebelum ini dikenali T-Team sekali gus berjaya mengubat duka selepas tersingkir ke Liga FAM musim depan selepas menghuni tangga tercorot Liga Perdana musim ini.

TFC II yang menampilkan corak menyerang bermula garang pada awal permainan menerusi percubaan menarik Bruno Suzuki pada minit ketiga.

Skuad UKM kendalian Sulaiman Hussin juga berpeluang membuka tirai jaringan menerusi rembatan Mohd Irwan Syazmin Wahab dari luar kotak penalti pada minit keempat dan seminit kemudian melalui tolakan Sein Nam, namun gagal menerjah jaring.

Gol dinantikan tuan rumah akhirnya hadir pada minit ke-21 apabila Wasiu yang tidak dikawal bijak menanduk masuk hasil hantaran Andrew Anderson.

Bersambung babak kedua, skuad TFC II kian bernafsu apabila menambah jaringan kedua sekali lagi menerusi Wasiu apabila merembat kencang dalam kotak penalti pada minit ke-53 dan kedudukan kekal hingga tamat perlawanan.

Dengan kemenangan itu, skuad TFC II menerima RM250,000 manakala UKM sekadar berpuas hati dengan meraih RM75,000 dengan hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Disiarkan pada: October 15, 2018 @ 11:18pm
d