arena

'Ini macam la England'

Oleh Reuters

SEVILLE: Pengurus England, Gareth Southgate memuji skuad kendaliannya yang bermain tanpa rasa gentar dan penuh keberanian ketika menewaskan Sepanyol 3-2 di gelanggang lawan, dalam kempen Liga Negara-Negara Eropah, awal pagi tadi.

Southgate berkata, pengalaman menundukkan antara satu pasukan terbaik dunia itu akan memberikan manfaat kepada pasukan berkenaan.

England mengganas apabila mendahului permainan 3-0, menerusi dua jaringan Raheem Sterling dan Marcus Rashford, dengan gol Sepanyol dijaringkan pemain gantian, Paco Alcacer serta kapten, Sergio Ramos.

“Kualiti persembahan adalah hebat, kami bermain dengan keberanian, kami menguasai bola dengan keberanian,” kata  Southgate ketika sidang media.

“Apabila kamu berdepan lawan dengan kualiti seperti Sepanyol, dan cuba untuk mengatasi mereka, mereka akan memberi tekanan yang tinggi seperti mereka lakukan pada tujuh minit terakhir perlawanan.

“Kami menonjolkan kualiti yang sebenar, kualiti ketika serangan balas dan kualiti untuk melakukan penyudah.”

Sekali pun England mencipta kejutan dengan mara ke separuh akhir Piala Dunia di Russia, rekod mereka menentang pasukan lebih kuat dalam perlawanan kompetitif adalah buruk.

Kemenangan terakhir adalah ketika menang 5-1 ke atas Jerman di gelanggang lawan pada kempen kelayakan Piala Dunia 2001.

“Saya fikir ia rujukan yang hebat untuk pemain muda, kamu memerlukan kemenangan dan pengalaman positif bagi memberikan keyakinan untuk masa depan,” kata Southgate yang menyenaraikan skuad paling muda England dalam tempoh sedekad.

“Kami tidak mahu terlalu terbawa-bawa, kami tahu masih banyak kerja yang perlu dilakukan dan kami melepaskan dua gol yang amat teruk, tetapi saya fikir ia memberikan mereka kelegaan yang besar.

“Kurang satu lagi soalan yang perlu dijawab. Piala Dunia adalah pengalaman yang menakjubkan buat kami, kami membuat langkahan yang besar dan mencipta kejutan.

“Kami bermain menentang beberapa pasukan terbaik dunia dan dengan kemenangan ke atas Sepanyol, seri menentang Croatia, kami mencipta kemajuan.”

Disiarkan pada: October 16, 2018 @ 10:56am
d