arena

Van Dijk beri Liverpool khabar gembira

Oleh Agensi

LONDON: Pertahanan kental, Virgil van Dijk cergas untuk diturunkan Liverpool bagi aksi Liga Perdana Inggeris menentang Huddersfield Town, Sabtu ini, menurut jurulatih Belanda, Ronald Koeman.

Van Dijk akan diketepikan bagi aksi persahabatan dengan Belgium selepas Persatuan Bolasepak Belanda mengesahkan pemain itu masih merasai kesakitan rusuk dialaminya ketika Liverpool menentang Southampton, bulan lalu.

Pemain berusia 27 tahun itu beraksi 90 minit bagi kempen Liga Negara-Negara ketika Belanda menewaskan Jerman 3-0 di mana dia menjaringkan gol pembukaan sebelum kembali ke England bagi meneruskan rawatan.

Bagaimanapun, Koeman mendedahkan keputusan itu adalah perjanjian bersama di antara kelab dan pasukan kebangsaan dengan bos Belanda itu percaya Van Dijk bersedia untuk diturunkan ketika Liga Perdana bersambung minggu ini.

“Dia sudah kembali ke Liverpool dan akan bersedia untuk mengharungi perlawanan minggu ini,” kata Koeman. “Dia sedang berehat.” 

“Staf perubatan pasukan kebangsaan Belanda sudah berbincang dengan staf perubatan Liverpool dan membuat keputusan dia hanya akan bermain pada perlawanan dengan Jerman dan kemudian pulang ke Liverpool. Dia bersedia untuk bermain pada minggu ini.”

Sekali pun digantikan ketika menentang Southampton dan terlepas perlawanan Liverpool berikutnya dalam aksi Piala Liga yang menyaksikan Reds tewas 1-2 kepada Chelsea, dia beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan selepas itu.

Jika ramalan Koeman tepat, ia berita yang dialu-alukan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp selepas kelab kendaliannya tampak berdepan beberapa isu kecederaan selepas rehat antarabangsa.

Penyerang bintangnya, Mohamed Salah mengalami kecederaan ketika beraksi bersama Mesir bagi kempen kelayakan Piala Negara-Negara Afrika menentang Swaziland dengan statusnya untuk Liverpool masih belum diketahui.

Liverpool masih belum ditewaskan dalam kempen Liga Perdana tetapi mereka sudah mengharungi empat perlawanan tanpa kemenangan ketika ini.

Disiarkan pada: October 16, 2018 @ 1:09pm
d