arena

Singa Utara destinasi baharu Nidzam?

Oleh Muhammad Mustakim Ramlim

KANGAR: Bekas ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff dilihat antara calon yang bakal mengemudi pasukan Singa Utara pada musim hadapan.

Ini susulan tersebarnya gambar Nidzam bersama Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie di sebuah hotel di bandar ini, semalam.

Penyebaran gambar itu di media sosial menimbulkan spekulasi dalam kalangan peminat Singa Utara bahawa Nidzam bakal menjadi ketua jurulatih Perlis yang baharu menggantikan Manja Man.

Turut sama berada di dalam gambar berkenaan adalah jurulatih pasukan belia Kedah, Rafdi Rashid dan ketua jurulatih pasukan Qhaleefa MIB, Hasmawi Hassan.

Ahmad Amizal yang dipilih menjadi Presiden PFA yang baharu Ahad lalu dilihat mahu melakukan perubahan drastik bagi mengembalikan zaman kegemilangan Singa Utara.

Sementara itu, Timbalan Presiden PFA, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan ketika dihubungi enggan mengulas lanjut.

“Kita akan maklumkan nanti dalam majlis memperkenalkan barisan pemain dan jurulatih.

“Kita harap peminat bersabar dan PFA kini sedang lakukan yang terbaik untuk Singa Utara,” katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2018 @ 3:43pm
d