arena

Malaysia tetap positif biarpun tewas

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA: Kyrgyzstan berjaya menewaskan Malaysia 1-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

Walaupun persembahan skuad negara amat meyakinkan namun tewas tipis ketika pelawat giat diasak penyerang tuan rumah.

Malah Harimau Malaya terlebih dulu mencuba untuk meledak  jaringan awal menerusi Norshahrul Idhan Talaha seawal minit kelima namun tersasar.

Pelawat yang bertekad mencipta kemenangan sebagai motivasi menghadapi Piala Asia 2019 turut melakukan percubaan menerusi  Kozubaev Tamirlan pada minit ke-13 namun tandukannya sedikit ke kiri gawang Harimau Malaya.

Pelawat sekali lagi menguji benteng pertahanan negara namun tandukan penyerang utamanya Batykanov Eenist pada minit ke-24 sekadar melepasi palang gol.

Peluang terbaik mencetak jaringan pendahuluan hadir menerusi Norshahrul pada minit ke-29 namun percubaannya sekadar menggegar palang gol.

Persembahan terbuka skuad bimbingan jurulatih Tan Cheng Hoe menyaksikan anak buahnya mampu menguasai permainan dan mencipta ruang jaringan, termasuk menerusi kapten, Zaquan Adha Abd Radzak  pada minit ke-34 dan 41 namun diselamatkan penjaga gol Matias Pavel.

Pemain muda, Muhammad Syahmi Safari turut mencuba pada minit ke-43 namun rembatan kencangnya tersasar diikuti Norshahrul seminit selepas itu turut gagal menerjah jaring.

Bersambung babak kedua, pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh turut mencipta peluang pada minit ke-63 namun tidak berhasi.

Gol kemenangan Kyrgyzstan akhirnya hadir menerusi rembatan Sagynbaev Bekzhan pada minit ke-68 apabila menewaskan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Selepas jaringan itu skuad negara cuba mengasak hebat untuk mencari gol penyamaan namun gagal walaupun lawan terpaksa bermain 10 pemain selepas Iusupov Mustafa dilayangkan kad merah pada minit ke-80.

Statistik lebih sembilan percubaan bahaya Harimau Malaya membuktikan ada perubahan menarik skuad terbabit yang berdepan skuad ranking ke-91 dunia itu.

Disiarkan pada: October 16, 2018 @ 11:07pm
d