arena

Pengalaman taruhan Akhyar

Oleh Firdaus Hashim

SEPANG: Pengalaman beraksi bersama skuad senior Harimau Malaya dan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara akan dijadikan bekalan terbaik buat penyerang handalan dari Kedah, Akhyar Rashid bagi membantu perjuangan skuad B-19 pada Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Indonesia, bermula Sabtu ini.

Akhyar, 19, yang turut dikenali sebagai ‘Neymar Kedah’ sekali lagi menjadi pertaruhan kali ini di bawah kendalian Bojan Hodak selepas cukup cemerlang membantu skuad B-23 bimbingan Datuk Ong Kim Swee pada Sukan Asia Indonesia Ogos lalu, serta pasukan senior kendalian Tan Cheng Hoe yang menyaksikan dia menyumbat beberapa gol dalam aksi persahabatan antarabangsa.

Jelas adik bekas pemain kebangsaan dan Kedah, Rafdi Rashid itu, dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berdepan cabaran mendatang.

“Saya sentiasa bersedia dan akan memberi yang terbaik sekiranya diturunkan oleh jurulatih,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini sebelum berlepas ke Jakarta.

Ujarnya, biarpun baru saja menyertai pasukan sebaik berakhir aksi persahabatan menentang Kyrgyzstan bersama Harimau Malaya di Melaka malam tadi, tiada istilah penat sebaliknya tetap bersemangat untuk membantu pasukan di Indonesia.

“Tak (penat). Saya terus datang ke hotel pasukan di Kuala Lumpur dari Melaka. Lagipun malam tadi saya hanya main pada separuh masa kedua dan tidak penat sangat.

“Tumpuan saya sekarang adalah untuk membantu pasukan melangkah sejauh mungkin dan pengalaman bersama skuad senior dan B-23 sebelum ini akan saya gunakan untuk mencari kemenangan dalam setiap aksi,” katanya.

Skuad negara akan berdepan Arab Saudi, Tajikistan dan China dalam Kumpulan D dengan misi memburu tempat ke separuh akhir sekali gus meraih tiket automatik ke Piala Dunia B-20 di Poland tahun depan.

Disiarkan pada: October 17, 2018 @ 4:47pm
d