arena

'Three Lions perlu agresif '

Oleh Reuters

LONDON: Eric Dier percaya England harus mengekalkan pendekatan agresif sekali gus terus meningkat di bawah kendalian pengurus Gareth Southgate susulan kemenangan meyakinkan ke atas Sepanyol, kelmarin.

Skuad muda England menetapkan standard apabila mengejutkan Sepanyol 3-2 di gelanggang lawan di Seville dalam kempen Liga Negara Eropah selepas tampil dengan persembahan baik terutama pada babak pertama.

Dier yang beraksi agresif dilayangkan kad kuning susulan terjahan ke atas kapten Sepanyol, Sergio Ramos dan pemain tengah Tottenham itu berkata, tindakannya penting bagi memastikan rentak Sepanyol terganggu.

“Sejurus perlawanan bermula, ia tanggungjawab semua pemain dan kami perlu menjatuhkan pemain utama,” kata Dier kepada media Britain.

“Kami perlu menjadi agresif, berada di depan dan menunjukkan tiada apa yang boleh menakutkan kami.

“Ramos contoh yang hebat. Dia melakukan segala-galanya dengan amat baik tapi pada masa sama dia melakukan terjahan dan dia tidak akan dibuli. Kami perlu melakukan perkara sama.”

Skuad kendalian Southgate sedang membina reputasi sebagai pasukan yang berasaskan penguasaan bola tetapi Dier menganggap kebolehan untuk memenangi pertarungan fizikal juga sama penting bagi prospek jangka panjang.

“Ia satu persoalan untuk menjadi bijak pada masa yang tepat,” kata Dier. “Jelas ia mengecewakan Sepanyol, mengecewakan penonton. Saya fikir ia satu kematangan, tahu bila perlu melakukan kesilapan, bila untuk bersabar.”

Disiarkan pada: October 17, 2018 @ 5:01pm
d