arena

Mentaliti Les Bleus terbaik!

Oleh AFP

PARIS: Penjaga gol Tottenham, Hugo Lloris memuji kekuatan mental pemain yang membenarkan juara dunia Perancis bangkit daripada permulaan buruk sebelum menewaskan Jerman 2-1, awal pagi tadi.

Jerman berkunjung ke Stade de France untuk memburu kemenangan bagi menyelamatkan kempen mereka dalam Liga Negara Eropah selain menebus ‘maruah’ susulan persembahan mengecewakan di Piala Dunia.

Skuad kendalian Joachim Loew memperoleh permulaan yang diidam-idamkan apabila Toni Kroos menjaringkan gol menerusi penalti pada minit ke-14 menewaskan Lloris.

Begitupun, selepas mendengar kata-kata semangat daripada jurulatih Didier Deschamps, tuan rumah bangkit pada babak kedua apabila Antoine Griezmann menyamakan kedudukan selepas sejam sebelum meledak gol kemenangan pada minit ke-80 menerusi penalti.

Kapten Les Bleus, Lloris antara pemain yang mengakui pelawat perlu memperbaiki corak permainan mereka menentang Jerman dan pasukan itu membuktikannya.

“Apabila kami meningkatkan tahap kami, bakat pemain mula menyerlah,” kata Lloris yang turut memuji benteng pertahanan Perancis pada minit akhir permainan.

“Kami perlu kekal berwaspada di bahagian belakang... kekal tenang supaya tidak melepaskan gol kedua.”

Susulan keputusan seri menentang Jerman di Munich, kemenangan 2-1 ke atas Belanda dan seri 2-2 bertemu Iceland, Perancis kini menghuni tangga teratas Kumpulan 1.

Jerman pula menghuni tangga tercorot selepas gagal merekod sebarang kemenangan dalam kempen itu setakat ini susulan kekalahan kepada Perancis dan dimalukan Belanda 0-3 minggu lalu.

Disiarkan pada: October 17, 2018 @ 10:23pm
d